Thursday, September 9, 2010

Bila Tabir Ramadhan Berlabuh...


Dengan Nama Allah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam buat junjungan besar kekasih Ummah, Muhammad Ibn Abdullah S.A.W dan seluruh anggota keluarganya, para anbia, para sahabat yang dimuliakan-Nya, semua muslimin dan muslimat yang dirahmati dengan rahmat yang teragung; Iman dan Islam.

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera saya ucapkan. Alhamdulillah, pada hari ini saya masih diberi kekuatan, kesempatan dan ruang untuk terus menghela nafas yang terlalu mahal harganya ini untuk terus hidup di atas muka bumi ini selaku seorang hamba yang hina pada 'pandangan-Nya'.  

Tanpa kita sedari, detik waktu yang berlalu kian menjauh. Ada kalanya kita rasakan masa itu terlalu cepat berlalu, bahkan juga lambat-lambat. Namun hakikatnya, masa itu tidak pernah menunggu sesiapa kerana ia hanya menurut perintah-Nya seperti yang telah ditetapkan sejak azali lagi. 

Hari ini telah termaktub bahawasanya ia merupakan hari terakhir untuk umat Islam menjalankan ibadah puasa. Sudah tentunya hari esok merupakan satu hari yang ditunggu-tunggu oleh semua. Sambutan Hari Raya Aidilfitri. Masing-masing sibuk dengan pakaian baru, perhiasan rumah yang baru, kuih-muih yang pelbagai dan sebagainya. Dan ia pasti meriah setiap tahun. 

Namun ada di antara kita yang menganggap bahawa Ramadhan itu suatu yang membebankan. Mereka tidak faham atau mungkin tidak tahu akan banyaknya fadhilat yang dijanjikan oleh-Nya di sepanjang bulan tersebut. Para sahabat Rasulullah S.A.W dan baginda sendiri berasa amat sedih apabila ingin berpisah dengan Ramadhan. 

Oleh itu, marilah sama-sama kita menginsafi diri sendiri akan pengertian utama sambutan Aidilfitri. Apakah mungkin kita mensyukuri hari kemenangan kita dengan berlebih-lebihan, penuh dengan amalan maksiat yang keterlaluan? Jika itu pilihan kita, maka kita telah memilih jalan yang salah kerana kita telah merosakkan amalam-amalan yang telah kita lakukan di sepanjang hari. 


Jadi, marilah kita saling bermaaf-maafan di bulan Syawal ini. Moga kita peroleh rahmat dan keberkatan dari-Nya. Insya Allah. Jumpa lagi. Selamat menyambut Aidilfitri, maaf zahir dan batin. Wassalam.

Wednesday, September 8, 2010

Petua Istimewa




Petua Mendapat Pasangan

Assalamualaikum wbt. dan salam sejahtera saya ucapkan buat semua pembaca yang amat saya kasihi sekalian. Apa khabar?




Saya mendoakan semoga nuansa kasih dan sayang yang mekar di dalam hati kita sebagai saudara se-Islam dan juga sebagai rakyat Malaysia akan terus kekal mewangi. Insya Allah.

Sebelum saya teruskan dengan perkongsian ini, ingin terlebih dahulu
saya memohon jutaan kemaafan kepada anda semua. Ini adalah kerana sudah agak lama saya menyepi daripada dunia penulisan ini. Banyak perkara yang telah berlaku, namun diharapkan agar saya terus diberi kekuatan untuk meneruskan perjuangan ini. Amin.

Baiklah, Pedoman Atma kali ini ingin saya ketengahkan beberapa petua daripada seorang tokoh di Malaysia yang amat disegani, Dato' Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah berkenaan bagaimana mungkin kita mendapatkan pasangan yang kita doakan, harapkan selama ini. Insya Allah, mudah-mudahan ia akan memberi kesan yang baik buat kita semua.


Petua 1:
"Semua orang ada jodoh ataupun pasangan yang menanti dan biasanya ia berada tidak jauh dari anda. Jarang orang bertemu dengan jodoh yang berada jauh daripadanya."

(Petua Mendapat Pasangan, PTS Millenia)

Jadi, renung-renungkan nasihat daripada beliau ini. Diharapkan ada manfaat darinya. Insya Allah.

Dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin. Bahagia di samping yang tersayang itu penting, juga redha daripada Yang Maha Pencinta. Jumpa lagi.


Related Posts with Thumbnails