Tuesday, November 30, 2010

Aku dan Kejora

ku sapa 
kanvas malam hitam
serinya pudar
sirna rindu pada rembulan

namun kecewa
bisa terubat di kala sepi 
hadirnya kasih
kilauan mesra sang kejora

kasih
dengarkan pujangga buana
kala lara mula membias gelojak asmara
oh cinta
berikan daku 
secebis rasa
memugar tiris luka 

ingin ku lukis pada awan
seribu kata mutiara atma
ku tahu betapa seksa memendam di kalbu
setia tulus dirimu menanti

biar jenuh hidup yang ku tempuh
warawiri menghembus debar dan gundah
tapi ia pasti berlalu pergi
di saat dikau kembali padaku kini

huluran salamnya penuh bererti
untuk dirimu mencium wanginya persis kasturi
duhai kekasih
hanya dia yang utama
sinar kejora untuk kita berdua
buat selamanya...

Muhasabah Cinta

Wahai pemilik nyawaku
Betapa lemah diriku ini
Berat ujian dari-Mu
Ku pasrahkan semua pada-Mu
Tuhan baru ku sadar
Indah nikmat sehat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini ku harapkan cinta-Mu

Kata-kata cinta terucap indah
Mengalir berzikir di kidung doaku
Sakit yang ku rasa biar jadi penawar dosaku
Butir-butir cinta air mataku
Teringat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya Illahi muhasabah cintaku

Tuhan kuatkan aku
Lindungiku dari putus asa
Jika ku harus mati
Pertemukan aku dengan-Mu

Munsyid: EdCoustiC

Pergilah Sayang...

Berguguran air mata
Sedih dan pilu
Meratapi hakikat lara
Senandung duka berirama
Simfoni cinta seakan berdusta

Harapan yang tinggi menggunung
Mendamba kasih yang ditunggu
Setia hati diredam remuk
Kecewa perit dihukum

Pergilah sayang
Kejarlah mimpimu
Telah tertulis takdir di Luh Mahfuz
Sinar bahagiamu bukan di sini
Teruslah maju menggapai bintang
Harapanmu...

Kian lama kupendamkan rasa
Kasih terbina ikatan nan mesra
Kusangkakan cerah hingga ke petang
Rupanya gerimis jatuh di tengah hari

Ku pasrahkan segalanya kepada-Mu
Usah kau fikirkan tentang diriku
Ia bisa menyakitkan kamar kalbu
Esak tangisanku ini
Kupasrahkan hanya pada Yang Satu

Pergilah sayang
Tinggalkan diriku
Untuk bersama putera tercinta
Biarkan aku bersendirian di sini
Menanti cahaya yang entah bilakan
Menjelma...

Ikrar palsu yang dikau ukirkan
Terpahat di nurani nestapa
Takkan kulupakan coretan ceritera maya
Kenangan manis antara kita
Oh kekasih...
Pergilah sayang...

Nukilan: Qamar Aqram

Monday, November 29, 2010

Kuliah Cinta - Ada Apa Dengan Cinta? (Siri 1)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam cinta saya hulurkan buat kalian para pembaca Luahan Rasa. Musafir Alam ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan amat berbesar hati untuk mengalungkan kalungan apresiasi yang tak terhingga kepada kalian atas kesetiaan menanti dan meneliti tiap entry yang sedia ada dan yang akan datang. Moga-moga setiap yang telah Musafir Alam nyatakan dalam Luahan Rasa akan menjadi iktibar untuk kalian semua. Insya Allah.

Jadi, dalam edisi kali ini selain daripada entry-entry yang sedia ada berkenaan cinta, Musafir Alam merasakan terpanggil untuk memberikan sedikit perkongsian berkenaan tema utama blog ini iaitu cinta. Dan terus terang saya katakan, ruangan kali ini bukanlah semata-mata memberi kuliah, tetapi lebih kepada diskusi bersama-sama kalian. Mudah-mudahan akan ada manfaatnya.
Jadi, tanpa membuang masa lagi marilah kita mulakan.

Bila bicara tentang cinta, pasti akan ada pelbagai tafsiran yang berkaitan dengannya. Ada yang melihat cinta itu sekadar pada maksud literal sahaja dan ada juga yang berjaya menyelami dan mentafsirnya dengan amat baik. Tidak ketinggalan juga ada yang memahaminya pada skop yang tidak sepatutnya. Persoalannya kini, apa itu cinta?

Cinta adalah fitrah yang istimewa dicipta Tuhan untuk manusia. Cinta hadir dalam hati manusia kerana kita semua telah dianugerahkan naluri yang amat sensitif untuk menyayangi dan disayangi (Dato' Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah & Syaidatun Nazirah Abu Zahrin, 2004: Psikologi Cinta).
Untuk itu, terdapat satu pujangga yang berbunyi:

"Cinta itu kuasa yang luar biasa kerana mampu membuat seseorang itu melakukan sesuatu yang tidak masuk akal. Qaisy mati mendakap nisan Laila; Sappo dalam dongengan Yunani sanggup terjun dari puncak karang yang tinggi kerana terlalu merindukan buah hatinya; Rama rela berkorban apa-apa sahaja demi Sita; Shah Jehan mengabadikan Taj Mahal istimewa buat isterinya yang tercinta, Mumtaz; seterusnya kisah kasih agung Laila - Majnun dan Romeo - Juliet yang amat menyentuh perasaan". - Anonymous -

Sememangnya kini cinta itu amat penting dalam hidup setiap insan di dunia ini yang mempunyai kasih dan sayang dalam hatinya. Kesemua keperluan manusia di dunia ini takkan sempurna tanpa adanya cinta. Dan cinta juga wujud dalam kalangan makhluk-makhluk lain di dunia. Alangkah agungnya kuasa Tuhan yang menciptakan cinta! Subhanallah (Maha Suci Allah).

Sekiranya kita melihat pada pandangan beberapa pakar-pakar psikologi Barat berkenaan dengan cinta, kita akan mendapati terdapatnya perbezaan yang ketara dengan takrifan yang diberikan dalam Islam. Berikut merupakan sebahagian daripada pandangan mereka:

1.Robert J. Sternberg: Cinta itu berpaksikan pada 3 unsur (keintiman, nafsu, komitmen).
2.Sigmund Freud: Rangkaian kehendak seksual yang tidak dipenuhi sepenuhnya (sublimated sexuality).
3.Erich Fromm: Unsur yang terbit daripada perasaan mengambil berat, bertanggungjawab, hormat dan mengambil tahu perihal orang lain.

Berdasarkan pendapat-pendapat di atas, kita dapat simpulkan bahawa cinta pada pandangan Barat lebih kepada pemenuhan kehendak nafsu dan lebih kepada unsur seksual semata-mata. Tiada langsung kaitan dengan ketuhanan yang seharusnya diberikan perhatian yang sewajarnya. Ini adalah kerana Tuhan merupakan pencipta cinta. Bagaimana mungkin kita melupakan Tuhan ketika bercinta?

Oleh yang demikian, marilah bersama-sama kita renungkan dan selamat beramal. Sekian sahaja untuk post kali ini. Semoga kita akan bersama-sama dalam menelusuri cinta yang terbaik dan mengecapi kejayaan dalam kebahagiaan. Insya Allah. Semoga kita berjumpa lagi dalam edisi Kuliah Cinta yang akan datang. Sekian, wassalamualaikum wbt dan salam 1 Malaysia!

Friday, November 19, 2010

Cinta

Cinta itu hadir dalam pelbagai rupa. Ada yang membawa duka; bawa gembira dan sebagainya. Umat Islam sedunia telah memperlihatkan keagungan cinta mereka pada 3 hari yang lepas iaitu pada Hari Raya Aidiladha. Semua yang menyambutnya mengambil iktibar daripada kisah di sebalik pengorbanan yang telah dilakukan oleh Nabi Allah Ibrahim A.S kepada anaknya Nabi Ismail A.S.

Cinta dan pengorbanan merupakan satu ikatan yang sinonim; apresiasi tautan kasih akan bertambah jelas dengan wujudnya pengorbanan dalam percintaan. Namun begitu, sejauh manakah harus kita melakukan pengorbanan demi cinta? Seniman negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee ada menyebut di dalam bait-bait lagunya: "Berkorban apa saja... harta ataupun nyawa... itulah kasih mesra... sejati dan mulia..."

Realiti hari ini memperlihatkan satu kontradiksi yang hebat. Manusia sedia berkorban untuk sesuatu yang tidak pasti. Jiwa raga digadaikan atas nama cinta. Cinta yang sifatnya suci itu kini dinodai. Di mana-mana, orang sering memperkatakan bahawa disebabkan cintalah manusia musnah. Antara hakikat yang paling hangta diperkatakan kini ialah berkenaan kes pembuangan bayi yang kian berleluasa. 

Mana perginya cinta seandainya hilang nilai insan dalam diri? Benarkah tulusnya cinta jika ia bisa menghancurkan diri sendiri? Renungkanlah wahai sahabat. Moga kita akan lebih berhati-hati dalam menilai cinta. Cinta itu indah lagi mempersonakan. Anugerah Tuhan paling hebat. Namun, andainya ia disalah guna, maka kita akan jadi manusia yang paling rugi. 
Related Posts with Thumbnails