Sunday, July 26, 2009

Puisi Hati




Di malam hening

Sukma sunyi tak berteman

Tenggelam aku di balik sutera sepi

Angin lembut menyapa pipiku yang basah

Linangan air mata rindu kini menguntum

Tabir di langit

Membisikkan kalam suci

Menuntun langkah menuju ke pulau cinta

Terang sinar lentera kasih berteman kejora

Aksara purnama tersenyum persis bidadari idaman

Bayangan firdausi


Jalinan kasih mekarnya sayang

Kiniku yakin kaulah puteri mawar hatiku

Rahmati kami satukan nurani

Tautan kasih dua jiwa indah disuluh iman

Madah terlafaz

Tulus dariku

Bukan ungkapan menipu daya

Percayalah padaku

Kau insan yang terpilih

Tika ku lumpuh

Menempuh hidup

Kau membisikkan kalam semangat

Agar lirih ratapku diwarnai cinta

kepadaNya


Puisi hati

Menyambut hadirnya mawar

Mekar dan harum mewangi semulus salju

Moga ikatan kau dan aku teguh tanpa duri

Takkan kulupa bicaramu

Yang menyejukkan ammarahku selamanya….

Puisi hati melakar cinta abadi….

Nukilan : Akhi Qamar

Monday, July 13, 2009

Sayangi Dia


Assalamualaikum, salam cinta saya hulurkan buat kalian. Diharapkan kalian yang sedang hangat bercinta terus berbahagia bersama teman-teman anda dalam keadaan yang terpelihara daripada sebarang anasir negatif. Insya Allah, kamu akan selalu berada di dalam peliharaan rahmat Tuhan. Amin.


Untuk entry yang terbaru ini, saya rasa terpanggil untuk berkongsi sesuatu berkaitan perasaan sayang. diharapkan agar ia dapat menjadi renungan kita bersama, insya Allah:


1. Sayangi dia dengan hati, bukan dengan perasaan. Jika anda meletakkan sesuatu perhubungan berdasarkan perasaan, ianya akan gagalkerana perasaan sentiasa berubah dari masa ke semasa.

2. Sayangi dia seadanya. Di dunia terdapat hampir 6 billion manusia dengan 6 billion personaliti. Dia sememangnya seorang yang istimewa dan biarkan

ianya kekal begitu. Jangan sesekali terfikir untuk mengubah apa-apa tentang dia kerana sekali anda mengubah, selamanya anda akan terus mengubah dirinya. Tentu anda masih ingat, anda terpikat padanya kerana dia adalah dia. Maka, tiada alasan untuk anda mengubah dia untuk menjadi seseorang yang lain.

3. Sayangi dia sepenuh hati. Sesungguhnya dia telah banyak bekorban untuk anda. Dengan kelebihan yang ada

padanya, dia berpeluang untuk menjalin hubungan dengan seseorang yang lebih sempurna tapi demi cinta, dia telah memilih diri anda. Maka, jangan sesekali cuba untuk mempermain-mainkan keluhuran cintanya.

4. Hormati pendirian dan keputusan dia. Jangan anda merayu dan jangan mencipta alasan supaya dia menerima cinta anda kerana kelak, yang anda akan dapat darinya hanyalah cinta simpati dan bukannya cinta setulus hati.

5. Yakinkan diri anda akan keistimewaan dia. Dia adalah satu-satunya di dunia ini dan jangan mengharapkan kesempurnaan dari dia kerana dia telahpun cukup sempurna semenjak anda mula terpikat padanya.

6. Percaya akan dirinya. Sentiasa bersangka baik padanya jika kita juga mahukan sebegitu darinya.

Pastikan anda akan sentiasa meletakkan diri anda di tempatnya sebelum melakukan apa-apa. Jika anda sendiri tidak dapat menerimanya, apatah lagi dia.

7. Jangan berjanji menyayangi dia untuk selama-lamanya kerana selama- lamanya bagi anda mungkin akan berakhir keesokkan harinya, tapi berjanjilah untuk menyayangi dirinya seolah-olah setiap hari itu adalah hari yang terakhir untuk anda berdua.

8. BERCINTA dengannya adalah seperti memberi hati anda kepadanya untuk dilukai tapi kepercayaan itu penting. Percayalah kepadanya, nescaya dia akan melindunginya sepenuh jiwa dan raga.

9. Jangan sesekali meninggalkan dia tanpa sebarang alasan. Dia bukan hanya akan setakat menangis kecewa dan kemudiannya meneruskan hidup seperti biasa, ketahuilah bahawa jiwanya akan mati secara perlahan.

10. Jangan cepat berbangga dengan diri anda, memenangi hatinya bukanlah satu kejayaan yang mutlak tetapi anugerah itu hanya layak anda perolehi setelah anda berjaya menyayanginya sehingga ke akhir hayat. Ketahuilah, dia memilih anda adalah kerana dia percaya bahawa anda adalah seorang yang jujur dan akan menepati janji. Anda telah bersusah payah dan berusaha sedaya upaya untuk memenangi cintanya, maka dengan itu haruslah juga anda berusaha untuk terus menyintai dirinya dengan apa jua keadaan sekalipun.

Diharapkan agar perkongsian kali ini memberikan manfaat buat kalian para pembaca yang amat saya kasihi. Jika ada baiknya artikel ini, silalah sebar-sebarkan kepada teman-teman lain agar ilmu yang bermanfaat ini akan dapat diambil iktibar oleh manusia sejagat. Wassalam.

Cinta Kita

Cinta fitrah manusia

Semua ingin memilikinya

Namun sedarkah anda

Pengorbanan perlu untuknya?

Nikmat dari Maha Esa

Jangan dipersia

Agar kau kekal mulia

Bukan durjana

Tetapi wahai hamba

Hatimu itu untuk siapa?

Curahan kasih berpayung redha

Adakah ia hiasan semata?

Cubalah setia bila bercinta

Hargailah ia sepanjang masa

Kelak dirimu tidak derita

Meratap nasib terus sengsara

Cintailah Dia yang Maha Esa

Rasul junjungan kekasih yang mulia

Tak lupa ayahanda dan bonda

Jua dia yang dikau cinta

Bukan tidak boleh bercinta

Tapi biar tiba saatnya

Jagalah tiap batas yang ada

Kelak syaitan menangis di neraka

Wahai kalian orang bercinta

Marilah kita hayati bersama

Teguhkan hati kita senada

Moga Allah rahmati kita...

Cetusan Rasa: SweetLuNarZ

Friday, July 10, 2009

12 ways to know that you LOVE someone!!!



Assalamualaikum & a very good morning I bid to all my respected readers. Today, I would like to share something about love with you. Thanks to my friend, Eve for this very good information. Its about 12 ways of knowing about your love towards someone:

TWELVE:
You talk with him/her late at night and when you go to bed you still think of him/her.

ELEVEN:
You walk really slowly when you are with him/her.



TEN:
You don't feel Ok when he/she is far away.


NINE:
You smile when you hear his/her voice.


EIGHT:
When you look at him/her,you do not see other people around you. You see only him/her..


SIX:
He/She
is everything you want to think.

FIVE:
You realize that you smile every time you look at him/her.


FOUR:
You would do anything to see him/her.



THREE:
While you have been reading this, there was a person in your mind all the time.


TWO:
You've been so busy thinking of that person that you didn't notice that number 7 is missing.



ONE:
You are going to check above if that's true and now you are silently laughing to yourself.

Think about it, my friends. Just think about it.... wassalam.

Thursday, July 9, 2009

Dia Tersenyum!! (Bahagian 2)


Hari ini genap seminggu Qistina bercuti. Seminggu jugalah Asraf memendam rindu kepada kekasihnya itu. Puas dicubanya untuk menghubungi Qistina, namun langsung tidak membuahkan apa-apa hasil. Rakan serumah juga menyatakan bahawasanya mereka tidak tahu menahu akan pemergian Qistina selama ini. Dan pada masa yang sama, sudah genap seminggu sejak pertemuan ‘temuduga’ Qistina bersama-sama isterinya Aliyah berlalu. Dirinya pula diminta oleh isterinya untuk bermunajat di Masjid Putra. Selama dia berada di dalam masjid itu, nuraninya benar-benar telah terusik. Dia mula menginsafi perihal dirinya yang sudah lama tidak mengimarahkan rumah Allah tersebut seperti mana yang sering dilakukannya sebelum ini.

Dulu, sebelum dia mengenali Qistina saban malam dia akan bersama-sama Aliyah dan anak-anaknya berjemaah dengan kariah masjid. Kemudian mereka menghadiri kuliah agama. Membaca Al-Quran dengan bertarannum adalah satu kesukaan buat dirinya. Namun, kini semuanya telah terabai sejak lenggok menggoda Qistina mendampingi dan melalaikannya. Haruman Qistina telah memudarkan bacaan tarannumnya. Hatinya kini benar-benar telah insaf. Atmanya kosong, sepi dan sunyi daripada alunan tasbih, tahmid yang sering dilagukannya dulu demi sebuah ketenangan yang hakiki. Sepanjang seharian dia berada di masjid, dengan gigih dia mencari kembali dirinya yang dulu. Asraf Mukmin yang dulunya seorang yang fokusnya pada agama dan keluarga. Asraf Mukmin anak Imam Kampung Seputih. Asraf Mukmin yang selalu berzanji. Dan akhirnya, gugurlah mutiara-mutiara keinsafan dari kelopak matanya membasahi pipi.

Hatinya masih tertanya-tanya, apakah yang telah terjadi pada hari itu. Aliyah menunaikan tanggungjawabnya seperti biasa. Tiada sebarang layanan yang pelik daripadanya. Dan mulutnya seakan-akan telah terkunci untuk bertanyakan perihal calon madu isterinya itu.

Tut tut tut… sebuah sms menjengah masuk ke dalam inbox telefon bimbit Asraf.

“Abang, Qis nak minta maaf banyak-banyak daripada abang. Qis rasa Qis bukanlah yang terbaik untuk diri abang. Qis tak sehebat kak Aliyah, langsung tak sama. Qis… Qis perlu jadikan diri Qis sehebat kak Aliyah sekiranya Qis ingin bersama dengan abang. Maafkan Qis abang…” Asraf terkedu membaca kiriman sms tersebut.


“Eh, surat apa pulak ni?”, gumam Asraf di dalam hati. Kelihatan sepucuk sampul surat terletak di bawah telefon bimbitnya sejak tadi. Dengan penuh kehairanan, perlahan-lahan dia membuka surat tersebut lalu membacanya.

__________________________________________________________________

Kepada :

Asraf Mukmin,

Suamiku yang tersayang…

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang,

Salam sejahtera buat suamiku yang tercinta. Aliyah doakan semoga redha-Nya senantiasa mengiringi tiap langkahmu di atas muka bumi ini. Insya Allah. Amin.

Abang yang kukasihi,

Sudah genap seminggu berlalu sejak sesi temuduga yang Aliyah jalankan buat Qistina. Pertama-tamanya Aliyah ucapkan terima kasih kepada abang kerana telah membawakan kepada Aliyah seorang calon madu yang sangat cantik. Dan di dalam warkah ini Aliyah sertakan bersama penilaian Aliyah terhadap Qistina.


1. Dengan ukuran bentuk tubuhnya yang persis seorang model, ternyata dia berjaya mengalahkan Aliyah yang kini semakin dimamah usia. Dia sememangnya pandai berfesyen, mengikut peredaran zaman moden. Tapi bang, Aliyah sangat-sangat sayangkan abang. Aliyah tak sanggup melihat abang diheret ke dalam neraka disebabkan menanggung dosa. Sedangkan dosa abang sendiri pun, masih belum mampu terjawab di akhirat sana apatah lagi abang nak menggalas dosa orang lain. Aliyah sayangkan abang…


2. Aliyah ada mengajak dia memasak. Tenyata dia memang pandai memasak, apatah lagi western food. Tapi, aliyah sayang abang sangat-sangat. Aliyah tau selera abang hanya pada lauk pauk kampung. Tapi tak tahula pula kalau-kalau selera abang sudah berubah. Tapi Aliyah masih ingat lagi, ketika kita sekeluarga singgah di sebuah restoran makanan western, abang muntahkan semua makanan-makanan tu. Lagi satu, anak-anak kita semuanya ikut selera ayah mereka. Kasihan nanti, tak makan pula anak-anak kita nanti bang. Aliyah sayangkan abang…


3. Aliyah ada juga mengajak dia solat berjemaah. Kelam kabut dibuatnya. Aliyah minta dia jadi imam. Yalah, nanti dia akan menjadi ibu kepada zuriat abang yang lahir, jadi Aliyah harap dia mampu untuk mengajarkan anak-anak abang nanti untuk menjadi imam dan imamah yang beriman. Tapi kalau dia sendiri pun masih kelam kabut memakai telekung… Aliyah sayangkan abang…

Abang yang disayangi,

Cukuplah rasanya penilaian Aliyah. Kalau diungkapkan satu persatu, Aliyah tidak terdaya. Siapalah Aliyah untuk menilai orang lain dengan hanya melihat kelemahannya sahaja sedangkan diri Aliyah sendiri masih punya kelemahan. Lagipun, abang lebih memahami tentang dirinya, kan? Abang sudah mengenalinya lebih lama daripada Aliyah, hanya satu hari.

Abang yang dicintai,

Di dalam sampul ini ada borang keizinan berpoligami. Telah siap Aliyah tandatangan. Juga sekeping tiket penerbangan MAS ke Australia. Jika munajat abang di Masjid Putra mengiyakan tindakan abang ini, ambillah borang ini, isikan dan pergilah kepada Qistina. Oh ya, lupa Aliyah nak beritahu, sebenarnya Qistina telah berada di Melbourne. Menunggu kehadiran abang… Aliyah sayangkan abang… tetapi jika abang merasakan Qistina masih belum cukup hebat untuk dijadikan isteri abang, pergilah cari wanita yang setanding dengan Aliyah… Aliyah sayangkan abang… tetapi, jika abang merasakan Aliyah adalah seorang isteri yang hebat untuk abang… tolonglah bukakan pintu bilik ini. Aliyah bawakan sarapan kegemaran abang, roti canai… air tangan Aliyah.

Salam sayang,

Aliyah Najihah Binti Mohd Hazery

____________________________________________________________________

Tangannya pantas membuka pintu biliknya. Di situ berdirinya Aliyah Najihah bersama-sama dengan hidangan sarapan pagi kegemarannya. Dia tersenyum!!


Benar, tiada isteri sehebat isterinya, Aliyah!!!

-TAMAT-

Dia Tersenyum!! (Bahagian 1)


Aliyah yang sedang melipat kain terdiam sebentar. Terkedu mungkin. Adakah pendengarannya kian kabur lantaran usianya yang kian beranjak. Adakah dialog tadi hanya dilafazkan di dalam TV, sementelahan TV juga dipasang ketika itu. Tapi.. ah, bukanlah. TV sedang menayangkan iklan Sunsilk, mustahil sudah ada siri baru iklan Sunsilk? Dia menghela nafas panjang. Dia memandang sekali imbas wajah Asraf Mukmin, kemudian tersenyum. Meletakkan kain yang siap dilipat ke tepi, dia bangun lantas menuju ke dapur. Langkahnya diatur tenang. Segelas air sejuk diteguk perlahan. Kemudian, dia ke bilik Balqis, Sumayyah dan Fatimah.

Rutin hariannya, mencium puteri-puterinya sebelum dia masuk tidur. Dahulu, semasa puterinya kecil lagi, rutin itu dilakukan suaminya. Kini, anak-anak kian beranjak remaja. Kemudian dia menjenguk bilik putera bujangnya yang berdua, si kembar, Solehin dan Farihin.

Penghabisannya dia kembali kepada suaminya. Asraf Mukmin hanya membisu, membatu diri. Dia amat mengenali isterinya. Jodoh yang diatur keluarga hampir 16 tahun yang lalu telah menghadiahkannya sebuah keluarga yang sangat bahagia. Aliyah ialah ikon isteri yang solehah. Namun, sejak kehadiran Qistina, seorang gadis genit yang menjawat jawatan pembantu tadbir kesetiausahaan di jabatannya benar-benar telah mengusik hati prianya.

“Kau mampu Asraf. Dengan gaji kau tu, aku rasa kau mampu untuk memberi nafkah kepada 2 orang keluarga”, ujar Hanif, teman sepejabatnya yang membantunya menyediakan hujah untuk isterinya Aliyah.


“Abang, Qis tak kisah bang. Qis sanggup bermadu jika itu yang telah ditakdirkan Tuhan. Bimbinglah Qis bang. Qis… Qis amat memerlukan seseorang seperti abang untuk membimbing hidup Qis”. Masih tengiang-ngiang kelunakan suara Qistina bermadah bicara.

Sejak akhir-akhir ini, sekiranya Asraf Mukmin berada di rumah, hatinya berasa tidak menentu. Resah dan gelisah; terasa panas punggungnya. Setelah selesai menunaikan solat Subuh, awal-awal pagi lagi dia telah bersiap untuk ke pejabat. Tidak seperti kelaziman yang mana dia akan bersarapan berjemaah bersama-sama dengan isteri dan anak-anaknya. Aduhai, ternyata penangan Qis, gadis kelahiran Australia benar-benar menjerat hatinya.

“Abang, Aliyah setuju dengan permintaan abang tu. Tapi, Aliyah nak berjumpa dengan wanita tu dulu,” lembut tutur kata, tenang lagi bercahaya wajahnya ketika dia mengungkapkannya.

Jauh di sudut hati Asraf Mukmin, dia tahu Aliyah bukannya seorang yang panas baran. Aliyah merupakan seorang wanita yang boleh kita katakan sebagai sempurna. Namun… ahh!! Hatinya kini sedang menggilai seorang wanita yang jauh lebih muda daripada isterinya.

“Nanti abang tolong bawa dia ke sini ya? Tinggalkan dia bersama Aliyah hanya untuk 1 hari sahaja, boleh tak bang?” Pelik benar permintaan isterinya itu.

Apakah Aliyah hendak berbuat sesuatu kepada buah hatinya itu? Hatinya dirundung kegusaran memikirkan tentang hal itu. Namun, tanpa sedari dia telah mengangguk tanda setuju dengan permintaan isterinya tadi. Dia yakin bahawa isterinya tidak akan melakukan apa-apa perbuatan yang tidak waras.


Dan sepatutnya dia bersyukur kepada Tuhan Yang Maha Esa. Kalaulah isterinya itu wanita lain, belum tentu hasrat hatinya itu akan mudah dibawa runding. Silap-silap hari bulan, perang dunia pasti meletus. Habislah semua barang-barang di dalam rumah itu akan rosak dek dibaling akibat pergaduhan laki bini. Namun, itu semua hanya sering berlaku pada suatu ketika dahulu. Dalam era moden ini, para isteri adalah jauh lebih bijak. Tiba-tiba ingatannya mengimbau kisah seorang anggota tentera yang telah disimbah dengan asid gara-gara menyuarakan keinginan untuk menambah satu lagi ‘cawangan’. Kecacatan seumur hidup diterima sebagai hadiah sebuah perkahwinan yang tidak sempat dilangsungkan. Tetapi dirinya? Hanya senyuman yang diberikan Aliyah.


“Apa? Abang nak Qis berjumpa dengan isteri abang?” terjegil bulat matanya yang berwarna hijau.

“Kak Aliyah yang minta, sayang. Dia teringin sangat nak berkenalan dengan cayang tau”, lembut dan manja Asraf memujuk Qistina.

“Eh biar betul bang. Dia nak apa sebenarnya daripada Qis? Ish, takutlah Qis bang. Manalah tau, silap haribulan dia bunuh Qis!!” Terkejut Asraf mendengar kenyataan Qistina.


“Err… percayalah Qis, Aliyah tu bukan orang yang macam tu. Lagipun, kana bang dah lama bersama dengannya. Abang faham sangat isteri abang tu. Sayang jangan risau ya”.

Qistina mengalihkan pandangannya. Apa sebenarnya yang dia mahukan daripada aku agaknya? Fikirannya dengan tidak semena-mena teringat akan kisah-kisah dan kes-kes rumahtangga khususnya yang berkait rapat dengan poligami. Keadaan di mana isteri pertama seringkali membuli isteri yang kedua. Namun, dengan segera Qistina menepis sangkaan buruk tersebut daripada terus menguasai dirinya. Heh, ini Qistinalah. Jangan kau mimpi nak membuli orang macam aku, desis hati kecilnya.

bersambung....

Wednesday, July 8, 2009

Hati & Perasaan



Mungkin Tuhan sengaja mahu kita berjumpa

Dengan orang yang salah sebelum menemui insan yang betul

Supaya apabila kita telah menemuinya

Kita akan tahu bagaimana untuk bersyukur

Dengan nikmat & hikmah di sebalik pemberian tersebut


Apabila salah satu pintu kebahagiaan tertutup

Pintu yang lain akan terbuka untuk kita tetapi lazimnya

Kita akan memandang pintu yang telah tertutup itu terlalu lama


Hinggakan kita tidak nampak akan pintu lain

Yang telah dibukakan untuk kita.

Kawan yang paling baik adalah insan yang boleh duduk di dalam buaian

Dan berbuai bersama-sama tanpa bicara walau sepatah

Dan kemudiannya berjalan pulang dengan satu perasaan

Bahawa itulah perbualan yang terhebat pernah dialaminya

Memang benar kita tidak akan tahu

Apa-apa yang telah kita punyai, sehingga kita kehilangannya

Dan juga benar kita tidak tau

Apa-apa yang kita rindukan, sehingga ia datang kepada kita.

Semoga kita miliki kebahagiaan yang cukup

Membuatkan diri kita menarik

Percubaan yang cukup membuatkan diri kita kuat


Kesedihan yang cukup memastikan kita menjadi seorang insan

Dan harapan yang cukup untuk membuatkan kita bahagia

Selalulah bayangkan diri kita berada dalam situasi seseorang

Jika kita terasa ia menyakitkan kita

Fikirkanlah yang ia juga bisa menyakitkan orang lain.


Kebahagiaan seseorang manusia tidaklah semestinya

Memiliki segala yang terbaik

Kita hanya membuat yang terbaik dalam hampir semua perkara

Yang datang di dalam hidup kita

Kebahagiaan terletak pada mereka yang menangis. Terluka

Dan mereka yang telah mencari dan mencuba

Hanya mereka sahaja yang boleh menghargai

Kepentingan manusia yang telah menyentuh kehidupan mereka.

Masa depan yang cerah sentiasa berteraskan

Kehidupan lalu yang telah dilupakan

Kita tidak akan boleh meneruskan kehidupan dengan sempurna

Sehinggalah kita melupakan kegagalan dan kekecewaan masa silam.

Semasa kita dilahirkan, kita menangis

Dan orang-orang di sekeliling kita tersenyum

Teruskanlah hidup ini supaya

Apabila kita mati nanti

Kita pula yang akan tersenyum

Dan mereka pula yang akan menangis...

renungkan ia dengan mata hatimu. wassalam.

Saya & Awak



Sedar tidak sedar, sudah 3 tahun saya mengenali awak. Tak pernah saya terfikir peristiwa memalukan saya terjatuh ke dalam longkang membuat hati kita bertaut. Terima kasih kepada Allah kerana mentakdirkan saya terjatuh dan terima kasih juga kerana Allah menggerakkan awak untuk mentertawakan saya. Jika tidak, hubungan kita tidak mungkin sampai sejauh ini. Siapa pernah menyangka peristiwa sekecil itu mampu mengikat hati dua insan. Walaupun saya dan awak masing-masing berjauhan, teknologi benar-benar mengikat kita.

Saya sedar, hari demi hari saya semakin menyenangi kehadiran awak dalam hidup saya. Saya bersyukur atas hubungan ini. Bersyukur kerana kita bukanlah seperti pasangan kekasih lain. Awak tidak pernah mengucap kata rindu, apatah lagi kata sayang. Seingat saya sepanjang 3 tahun ini, tidak sampai 5 kali kita bersua muka. Itupun tatkala awak dan keluarga datang beraya ke rumah saya. Saya juga bersyukur ibu bapa kita saling meredhai persahabatan kita.

Hari demi hari, kita semakin matang. Saya semakin mengenali dunia, semakin mendalami ajaran Islam sebenar. Dulu, saya fikir hubungan kita tidak salah. Ya, memang tidak salah dari pandangan mata luar. Namun jujur jauh di sudut hati saya, saya sering merindui awak biarpun tiada siapa antara kita yang pernah melafazkannya. Pernah saya angankan awak menjadi pembimbing keluarga saya kelak. MasyaAllah, begitu jauh saya lalai.

Kata-kata seorang teman suatu waktu dulu benar-benar mendorong saya berfikir panjang. “Zina hati sememangnya kelihatan kecil, namun dosanya tetap sama”.

Astaghfirullah…saya beristighfar panjang. Dengan segala kekuatan yang ada, saya katakan kepada awak. “Jangan hubungi saya lagi melainkan awak bersedia mengahwini saya”. Saya sendiri tidak pasti dengan apa yang saya lakukan.

Saya sedar awak pasti kebingungan dengan kata-kata saya kerana antara kita sememangnya tiada yang istimewa. Saya juga sedar hakikatnya, awak juga punya perasaan terhadap saya biarpun awak mebisu seribu bahasa. Hubungan kita terputus begitu sahaja. Enam bulan berlalu dengan amat sukar bagi saya.

Setiap hari saya berdoa semoga Allah permudahkan segala yang terbaik untuk saya, semoga Allah permudahkan jika apa yang saya lakukan benar-benar keranaNya. Ingin saya katakan, betapa sukar melupakan awak. Dalam kesibukan saya melupakan awak, tiba-tiba saya dikejutkan dengan rombongan peminangan. Andai awak dapat melihat hati saya, pastinya awak tahu betapa terkejutnya saya. Ya, awak tunaikan permintaan saya. Awak datang lagi ke rumah saya, tapi kali ini dengan sebentuk cincin. Sekarang saya sudah sah menjadi permaisuri hidup awak. Sekarang saya bebas merindui awak tanpa rasa berdosa, saya bebas berbicara dengan awak tanpa rasa bersalah dan saya bebas menyayangi awak kerana awaklah pembimbing hidup saya. Terima kasih ya Allah ikatkan kita dengan tali perkahwinan biarpun pada usia muda remaja.

nikah - connecting lovers

Terima kasih ya Allah kerana Kau telah menghadirkan awak sekali lagi dalam hidup saya...

Kisah ini pernah tersiar di dalam laman web iluvislam.com dan merupakan karya eVe. Diharapkan agar kisah ini dapat menjadi iktibar yang baik kepada semua pembaca yang amat saya kasihi sekalian. Keindahan cinta itu bukan terletak pada manisnya pertemuan antara pasangan kekasih semata-mata; suara teman yang mampu mengubat rindu tika hati teringat selalu. Namun ia terletak jauh di lubuk keikhlasan, kejujuran dan ketulusan hati dua JIWA yang bergelar PENCINTA.

Selamat berCINTA!!! Wassalam.

Related Posts with Thumbnails