Friday, December 10, 2010

Permulaan Baru! Ganbatte Kudasai!!

Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan buat semua pembaca Luahan Rasa. Apa khabar? Saya doakan kalian senantiasa berada di dalam keadaan yang sihat selalu di samping insan yang anda semua sayangi. Insya Allah. Amin.
Dalam post kali ini, saya cuma ingin membuat sedikit pengumuman sahaja berkenaan satu perubahan penting. Mulai post yang akan datang, blog ini saya telah ubah fungsinya menjadi satu blog yang lebih terbuka dengan pelbagai isu-isu yang lain selain daripada cinta. Ini adalah kerana saya bercadang untuk memudahkan pengurusan data saya dan mengelakkan terlalu banyak perkara yang mungkin berada di luar kawalan saya sendiri. Oleh yang demikian, insya Allah akan berlaku sedikit penjenamaan baru terhadap rupa blog ini sedikit masa lagi.
Blog yang akan datang banyak bercirikan kepada perkongsian ilmiah yang bersifat universal (agama, motivasi, isu semasa, cinta, dsb.) Mudah-mudahan konsep baru ini akan lebih mendatangkan banyak manfaat kepada para pembaca saya.
Sekiranya berkesempatan juga, satu slot khas yang melibatkan interaksi antara saya dan juga para pembaca akan disediakan. Sebarang permasalahan yang sudi dikongsi oleh para pembaca akan cuba dibawa untuk perbincangan yang sebaiknya kemudian.
Jadi, diharapkan agar para pembaca dapat menanti perubahan yang akan berlaku kelak. Jadi, hingga kita berjumpa lagi di edisi akan datang. Ilalliqa' wassalam 'alaikum.

Monday, December 6, 2010

Bahtera Hijrah Berlabuh


Salamullahi 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera, salam maal hijrah 1432 H khusus buat para pembaca yang amat saya kasihi sekalian daripada kalangan mereka yang beragama Islam. 
Semoga kehadiran tahun baru ini akan disertai dengan azam yang lebih baik dan diharapkan juga agar kita akan dianugerahkan dengan pelbagai rahmat dan kasih sayang daripada Allah SWT.
Insya Allah. Amin.

Tema bagi sambutan Maal Hijrah bagi tahun ini ialah "1 Malaysia 1 Ummah". Seperti mana yang kita semua sedia maklum, hijrah itu merupakan satu pokok kepada perubahan ke arah kebaikan. Rasulullah SAW pernah bersabda di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Saiyidina 'Umar Al-Khattab R.A yang membicarakan tentang kepentingan niat dan penghijrahan ke arah kebaikan:
"Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu."

(muttafaqun 'alaih)
Maka ambillah kesempatan umur dan nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita ini untuk bersama-sama memperbaiki diri kita ke arah yang lebih baik. Mudah-mudahan kita akan memperoleh kejayaan yang lebih gemilang. Insya Allah.
Penulis juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Salam Maal Hijrah 1432 H buat semua pembaca yang setia bersama dengan setiap post yang dinukilkan. Semoga penulis diberi kekuatan untuk terus berkarya dan terus memperjuangkan cinta yang tulus untuk kebaikan diri penulis sendiri dan juga para pembaca yang budiman sekalian. 
Jangan lupa untuk perbaharui hati kita, renovate iman kita dan kukuhkan cinta kita demi kebahagiaan hidup senantiasa. Wallahu a'alam. Ilalliqa'.

Tuesday, November 30, 2010

Aku dan Kejora

ku sapa 
kanvas malam hitam
serinya pudar
sirna rindu pada rembulan

namun kecewa
bisa terubat di kala sepi 
hadirnya kasih
kilauan mesra sang kejora

kasih
dengarkan pujangga buana
kala lara mula membias gelojak asmara
oh cinta
berikan daku 
secebis rasa
memugar tiris luka 

ingin ku lukis pada awan
seribu kata mutiara atma
ku tahu betapa seksa memendam di kalbu
setia tulus dirimu menanti

biar jenuh hidup yang ku tempuh
warawiri menghembus debar dan gundah
tapi ia pasti berlalu pergi
di saat dikau kembali padaku kini

huluran salamnya penuh bererti
untuk dirimu mencium wanginya persis kasturi
duhai kekasih
hanya dia yang utama
sinar kejora untuk kita berdua
buat selamanya...

Muhasabah Cinta

Wahai pemilik nyawaku
Betapa lemah diriku ini
Berat ujian dari-Mu
Ku pasrahkan semua pada-Mu
Tuhan baru ku sadar
Indah nikmat sehat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini ku harapkan cinta-Mu

Kata-kata cinta terucap indah
Mengalir berzikir di kidung doaku
Sakit yang ku rasa biar jadi penawar dosaku
Butir-butir cinta air mataku
Teringat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya Illahi muhasabah cintaku

Tuhan kuatkan aku
Lindungiku dari putus asa
Jika ku harus mati
Pertemukan aku dengan-Mu

Munsyid: EdCoustiC

Pergilah Sayang...

Berguguran air mata
Sedih dan pilu
Meratapi hakikat lara
Senandung duka berirama
Simfoni cinta seakan berdusta

Harapan yang tinggi menggunung
Mendamba kasih yang ditunggu
Setia hati diredam remuk
Kecewa perit dihukum

Pergilah sayang
Kejarlah mimpimu
Telah tertulis takdir di Luh Mahfuz
Sinar bahagiamu bukan di sini
Teruslah maju menggapai bintang
Harapanmu...

Kian lama kupendamkan rasa
Kasih terbina ikatan nan mesra
Kusangkakan cerah hingga ke petang
Rupanya gerimis jatuh di tengah hari

Ku pasrahkan segalanya kepada-Mu
Usah kau fikirkan tentang diriku
Ia bisa menyakitkan kamar kalbu
Esak tangisanku ini
Kupasrahkan hanya pada Yang Satu

Pergilah sayang
Tinggalkan diriku
Untuk bersama putera tercinta
Biarkan aku bersendirian di sini
Menanti cahaya yang entah bilakan
Menjelma...

Ikrar palsu yang dikau ukirkan
Terpahat di nurani nestapa
Takkan kulupakan coretan ceritera maya
Kenangan manis antara kita
Oh kekasih...
Pergilah sayang...

Nukilan: Qamar Aqram

Monday, November 29, 2010

Kuliah Cinta - Ada Apa Dengan Cinta? (Siri 1)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam cinta saya hulurkan buat kalian para pembaca Luahan Rasa. Musafir Alam ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan amat berbesar hati untuk mengalungkan kalungan apresiasi yang tak terhingga kepada kalian atas kesetiaan menanti dan meneliti tiap entry yang sedia ada dan yang akan datang. Moga-moga setiap yang telah Musafir Alam nyatakan dalam Luahan Rasa akan menjadi iktibar untuk kalian semua. Insya Allah.

Jadi, dalam edisi kali ini selain daripada entry-entry yang sedia ada berkenaan cinta, Musafir Alam merasakan terpanggil untuk memberikan sedikit perkongsian berkenaan tema utama blog ini iaitu cinta. Dan terus terang saya katakan, ruangan kali ini bukanlah semata-mata memberi kuliah, tetapi lebih kepada diskusi bersama-sama kalian. Mudah-mudahan akan ada manfaatnya.
Jadi, tanpa membuang masa lagi marilah kita mulakan.

Bila bicara tentang cinta, pasti akan ada pelbagai tafsiran yang berkaitan dengannya. Ada yang melihat cinta itu sekadar pada maksud literal sahaja dan ada juga yang berjaya menyelami dan mentafsirnya dengan amat baik. Tidak ketinggalan juga ada yang memahaminya pada skop yang tidak sepatutnya. Persoalannya kini, apa itu cinta?

Cinta adalah fitrah yang istimewa dicipta Tuhan untuk manusia. Cinta hadir dalam hati manusia kerana kita semua telah dianugerahkan naluri yang amat sensitif untuk menyayangi dan disayangi (Dato' Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah & Syaidatun Nazirah Abu Zahrin, 2004: Psikologi Cinta).
Untuk itu, terdapat satu pujangga yang berbunyi:

"Cinta itu kuasa yang luar biasa kerana mampu membuat seseorang itu melakukan sesuatu yang tidak masuk akal. Qaisy mati mendakap nisan Laila; Sappo dalam dongengan Yunani sanggup terjun dari puncak karang yang tinggi kerana terlalu merindukan buah hatinya; Rama rela berkorban apa-apa sahaja demi Sita; Shah Jehan mengabadikan Taj Mahal istimewa buat isterinya yang tercinta, Mumtaz; seterusnya kisah kasih agung Laila - Majnun dan Romeo - Juliet yang amat menyentuh perasaan". - Anonymous -

Sememangnya kini cinta itu amat penting dalam hidup setiap insan di dunia ini yang mempunyai kasih dan sayang dalam hatinya. Kesemua keperluan manusia di dunia ini takkan sempurna tanpa adanya cinta. Dan cinta juga wujud dalam kalangan makhluk-makhluk lain di dunia. Alangkah agungnya kuasa Tuhan yang menciptakan cinta! Subhanallah (Maha Suci Allah).

Sekiranya kita melihat pada pandangan beberapa pakar-pakar psikologi Barat berkenaan dengan cinta, kita akan mendapati terdapatnya perbezaan yang ketara dengan takrifan yang diberikan dalam Islam. Berikut merupakan sebahagian daripada pandangan mereka:

1.Robert J. Sternberg: Cinta itu berpaksikan pada 3 unsur (keintiman, nafsu, komitmen).
2.Sigmund Freud: Rangkaian kehendak seksual yang tidak dipenuhi sepenuhnya (sublimated sexuality).
3.Erich Fromm: Unsur yang terbit daripada perasaan mengambil berat, bertanggungjawab, hormat dan mengambil tahu perihal orang lain.

Berdasarkan pendapat-pendapat di atas, kita dapat simpulkan bahawa cinta pada pandangan Barat lebih kepada pemenuhan kehendak nafsu dan lebih kepada unsur seksual semata-mata. Tiada langsung kaitan dengan ketuhanan yang seharusnya diberikan perhatian yang sewajarnya. Ini adalah kerana Tuhan merupakan pencipta cinta. Bagaimana mungkin kita melupakan Tuhan ketika bercinta?

Oleh yang demikian, marilah bersama-sama kita renungkan dan selamat beramal. Sekian sahaja untuk post kali ini. Semoga kita akan bersama-sama dalam menelusuri cinta yang terbaik dan mengecapi kejayaan dalam kebahagiaan. Insya Allah. Semoga kita berjumpa lagi dalam edisi Kuliah Cinta yang akan datang. Sekian, wassalamualaikum wbt dan salam 1 Malaysia!

Friday, November 19, 2010

Cinta

Cinta itu hadir dalam pelbagai rupa. Ada yang membawa duka; bawa gembira dan sebagainya. Umat Islam sedunia telah memperlihatkan keagungan cinta mereka pada 3 hari yang lepas iaitu pada Hari Raya Aidiladha. Semua yang menyambutnya mengambil iktibar daripada kisah di sebalik pengorbanan yang telah dilakukan oleh Nabi Allah Ibrahim A.S kepada anaknya Nabi Ismail A.S.

Cinta dan pengorbanan merupakan satu ikatan yang sinonim; apresiasi tautan kasih akan bertambah jelas dengan wujudnya pengorbanan dalam percintaan. Namun begitu, sejauh manakah harus kita melakukan pengorbanan demi cinta? Seniman negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee ada menyebut di dalam bait-bait lagunya: "Berkorban apa saja... harta ataupun nyawa... itulah kasih mesra... sejati dan mulia..."

Realiti hari ini memperlihatkan satu kontradiksi yang hebat. Manusia sedia berkorban untuk sesuatu yang tidak pasti. Jiwa raga digadaikan atas nama cinta. Cinta yang sifatnya suci itu kini dinodai. Di mana-mana, orang sering memperkatakan bahawa disebabkan cintalah manusia musnah. Antara hakikat yang paling hangta diperkatakan kini ialah berkenaan kes pembuangan bayi yang kian berleluasa. 

Mana perginya cinta seandainya hilang nilai insan dalam diri? Benarkah tulusnya cinta jika ia bisa menghancurkan diri sendiri? Renungkanlah wahai sahabat. Moga kita akan lebih berhati-hati dalam menilai cinta. Cinta itu indah lagi mempersonakan. Anugerah Tuhan paling hebat. Namun, andainya ia disalah guna, maka kita akan jadi manusia yang paling rugi. 

Thursday, September 9, 2010

Bila Tabir Ramadhan Berlabuh...


Dengan Nama Allah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam buat junjungan besar kekasih Ummah, Muhammad Ibn Abdullah S.A.W dan seluruh anggota keluarganya, para anbia, para sahabat yang dimuliakan-Nya, semua muslimin dan muslimat yang dirahmati dengan rahmat yang teragung; Iman dan Islam.

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera saya ucapkan. Alhamdulillah, pada hari ini saya masih diberi kekuatan, kesempatan dan ruang untuk terus menghela nafas yang terlalu mahal harganya ini untuk terus hidup di atas muka bumi ini selaku seorang hamba yang hina pada 'pandangan-Nya'.  

Tanpa kita sedari, detik waktu yang berlalu kian menjauh. Ada kalanya kita rasakan masa itu terlalu cepat berlalu, bahkan juga lambat-lambat. Namun hakikatnya, masa itu tidak pernah menunggu sesiapa kerana ia hanya menurut perintah-Nya seperti yang telah ditetapkan sejak azali lagi. 

Hari ini telah termaktub bahawasanya ia merupakan hari terakhir untuk umat Islam menjalankan ibadah puasa. Sudah tentunya hari esok merupakan satu hari yang ditunggu-tunggu oleh semua. Sambutan Hari Raya Aidilfitri. Masing-masing sibuk dengan pakaian baru, perhiasan rumah yang baru, kuih-muih yang pelbagai dan sebagainya. Dan ia pasti meriah setiap tahun. 

Namun ada di antara kita yang menganggap bahawa Ramadhan itu suatu yang membebankan. Mereka tidak faham atau mungkin tidak tahu akan banyaknya fadhilat yang dijanjikan oleh-Nya di sepanjang bulan tersebut. Para sahabat Rasulullah S.A.W dan baginda sendiri berasa amat sedih apabila ingin berpisah dengan Ramadhan. 

Oleh itu, marilah sama-sama kita menginsafi diri sendiri akan pengertian utama sambutan Aidilfitri. Apakah mungkin kita mensyukuri hari kemenangan kita dengan berlebih-lebihan, penuh dengan amalan maksiat yang keterlaluan? Jika itu pilihan kita, maka kita telah memilih jalan yang salah kerana kita telah merosakkan amalam-amalan yang telah kita lakukan di sepanjang hari. 


Jadi, marilah kita saling bermaaf-maafan di bulan Syawal ini. Moga kita peroleh rahmat dan keberkatan dari-Nya. Insya Allah. Jumpa lagi. Selamat menyambut Aidilfitri, maaf zahir dan batin. Wassalam.

Wednesday, September 8, 2010

Petua Istimewa




Petua Mendapat Pasangan

Assalamualaikum wbt. dan salam sejahtera saya ucapkan buat semua pembaca yang amat saya kasihi sekalian. Apa khabar?




Saya mendoakan semoga nuansa kasih dan sayang yang mekar di dalam hati kita sebagai saudara se-Islam dan juga sebagai rakyat Malaysia akan terus kekal mewangi. Insya Allah.

Sebelum saya teruskan dengan perkongsian ini, ingin terlebih dahulu
saya memohon jutaan kemaafan kepada anda semua. Ini adalah kerana sudah agak lama saya menyepi daripada dunia penulisan ini. Banyak perkara yang telah berlaku, namun diharapkan agar saya terus diberi kekuatan untuk meneruskan perjuangan ini. Amin.

Baiklah, Pedoman Atma kali ini ingin saya ketengahkan beberapa petua daripada seorang tokoh di Malaysia yang amat disegani, Dato' Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah berkenaan bagaimana mungkin kita mendapatkan pasangan yang kita doakan, harapkan selama ini. Insya Allah, mudah-mudahan ia akan memberi kesan yang baik buat kita semua.


Petua 1:
"Semua orang ada jodoh ataupun pasangan yang menanti dan biasanya ia berada tidak jauh dari anda. Jarang orang bertemu dengan jodoh yang berada jauh daripadanya."

(Petua Mendapat Pasangan, PTS Millenia)

Jadi, renung-renungkan nasihat daripada beliau ini. Diharapkan ada manfaat darinya. Insya Allah.

Dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin. Bahagia di samping yang tersayang itu penting, juga redha daripada Yang Maha Pencinta. Jumpa lagi.


Sunday, April 25, 2010

Inikah Masyarakat Kita?

Pengawal sekolah disyaki cabul pelajar

KUALA LUMPUR 25 April - Polis mendapat perintah tahanan reman selama empat hari ke atas seorang pengawal keselamatan yang disyaki mencabul seorang murid perempuan berusia tujuh tahun di sebuah sekolah rendah di Batu Arang, Rawang, dekat sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, lelaki warga emas berusia 64 tahun itu ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah, bagi membolehkan siasatan dijalankan.

"Disebabkan hari ini cuti umum dan mahkamah tidak beroperasi, maka Majistret pergi ke Balai Polis Rawang untuk memberi perintah ke atas lelaki itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pengawal keselamatan itu diburu polis selepas ibu mangsa membuat laporan yang mendakwa suspek mencabul anaknya dalam tandas sekolah.

Insiden itu berlaku pada pukul 5.30 petang semasa mangsa yang bersekolah pada sesi pagi menghadiri kelas tarian dan sedang menunggu ibunya untuk pulang.

Bagaimanapun, mangsa telah ke tandas untuk membuang air kecil dan secara kebetulan telah bertemu dengan suspek.

Suspek kemudian bertanya sama ada mangsa sudah membasuh kemaluannya lalu membawanya masuk semula ke dalam tandas.

Di situ, suspek dipercayai menyuruh mangsa membersihkan kemaluannya seterusnya dicabul.

_______________________________________________________


Salam 'alaikum dan salam sejahtera. Selamat kembali ke ruangan Luahan Rasa bersama saya, Musafir Alam untuk edisi yang terbaru. Akibat kekangan tertentu, saya tidak dapat berkongsi dan meneruskan perjuangan saya di dalam penulisan blog ini. Namun, diharapkan saya akan dapat terus berjuang untuk manfaat kita bersama. Insya Allah.

Artikel ini merupakan satu petanda yang negatif terhadap struktur sosial dan kawalan sosial masyarakat kita. Pada pandangan saya, ini memperlihatkan salah satu contoh yang tidak sedap didengari sama ada dalam kalangan kita sendiri mahupun orang lain. Tetapi saya tidaklah menghukum dengan total berkenaan isu ini melibatkan ramai individu dalam masyarakat kita. Saya hanya ingin berkongsi pandangan saya terhadap masalah ini dan bersama kita mencari jalan penyelesaian yang terbaik secara bersama.

Pada hemat saya, ada kemungkinan besar yang lelaki itu mengalami masalah psikologi yang serius disebabkan faktor-faktor tertentu seperti kisah lampaunya yang menyedihkan, tekanan kerja yang melampau, kecenderungan dan keinginan seksual yang tidak normal dan sebagainya. Kesemua faktor ini haruslah diberi perhatian kerana sekiranya kita terlepas pandang akan isu-isu seperti ini, kita akan terus hidup dalam masyarakat yang penuh dengan kebimbangan dan ketakutan disebabkan keselamatan yang tidak terjamin khususnya kepada anak-anak gadis kita.

Oleh yang demikian, kita tangguhkan dahulu perbincangan kita pada sesi ini. Insya Allah kita akan meneruskan perbincangan kita pada masa lain nanti. Hingga kita berjumpa lagi. Cintailah cinta, kerana cinta kita ada... wassalam.

Monday, January 11, 2010

Aksi Melampau Dekat Masjid


KUALA LUMPUR: Menyakitkan mata! Itulah yang dapat digambarkan terhadap tingkah laku biadab segelintir remaja yang beraksi mesra tanpa segan silu di sekitar Taman Menara Berkembar Petronas (KLCC) terutama pada hujung minggu.


TAK MALU... gelagat pasangan remaja di Taman KLCC.

Malah, kawasan rekreasi Taman KLCC yang terkenal di kalangan pengunjung sebagai lokasi bersantai bersama keluarga dan menikmati pemandangan indah menara KLCC kini tercemar dengan kegiatan 'terlampau' segelintir remaja.

Tinjauan Harian Metro mendapati segelintir remaja tempatan dan orang asing yang dipercayai warga Indonesia menjadikan kawasan rehat di sekitar taman itu sebagai tempat memadu kasih tanpa menghiraukan orang sekeliling yang beriadah.

Pengunjung, Sofleyna Mohd Saleh, 32, berkata perbuatan kurang sopan di kalangan muda mudi yang tanpa segan silu 'menunjukkan kasih sayang dan rindu dendam' di khalayak umum begitu memalukan serta menjelekkan mata memandang.

"Lebih menyedihkan kerana kebanyakan remaja yang melakukan perbuatan ini bertudung dan tanpa rasa bersalah berpelukan serta bercumbuan dengan pasangan masing-masing.

"Sudahlah lokasi 'aktiviti' mereka ini berdekatan masjid, mereka langsung tidak rasa bersalah melakukan perbuatan tidak senonoh. Setidak-tidaknya mereka perlu menghormati rumah ibadat tambahan pula ramai di kalangan pengunjung membawa bersama anak-anak kecil," katanya.

Katanya, individu yang melakukan perbuatan kurang sopan di tempat awam seharusnya dikenakan tindakan sewajarnya kerana ia boleh mempengaruhi orang lain melakukan perbuatan sama, khususnya remaja yang gemar mencuba sesuatu yang baru.

Bagi Zainan Samingan, 41, perbuatan segelintir remaja Melayu beragama Islam melakukan aksi mesra di khalayak umum seakan menjadi kebiasaan (trend) masa kini dan tidak menolak terdapat jurang yang ketara antara remaja dulu dan sekarang.

"Nilai sebagai seorang Islam sudah jauh dipinggirkan dan ditolak tepi semata-mata memenuhi tuntutan nafsu. Perkara ini harus dibendung kerana jika terus dibiarkan dikhuatiri bakal meruntuhkan akhlak remaja dan nilai jati diri lebih-lebih lagi yang beragama Islam," katanya.
-Petikan Akhbar Harian Metro, 12 Januari 2010-
_________________________________________________________________

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera saya ucapkan pada semua pembaca Luahan Rasa. Alhamdulillah, akhirnya saya punya kekuatan dan sedikit masa untuk meneruskan wadah perjuangan saya untuk mendidik sambil beramal bersama kalian. Dan sekembalinya saya kali ini dengan slot atau ruangan baru iaitu Candaan Nafsu. Ruangan ini adalah untuk berkongsi sedikit banyak berita, cerita dan sewaktu dengannya. Mudah-mudahan saya dan para pembaca dapat mencari iktibar dalam tiap edisi dalam ruangan ini. saya bukanlah ingin memburukkan sesiapa, tapi diharapkan agar artikel-artikel yang diterbitkan dapat membantu kita memilih apa-apa yang terbaik untuk diri kita sendiri khususnya dalam konteks cinta. Hingga kita berjumpa lagi. Assalamualaikum dan bye.
Related Posts with Thumbnails