Thursday, July 9, 2009

Dia Tersenyum!! (Bahagian 2)


Hari ini genap seminggu Qistina bercuti. Seminggu jugalah Asraf memendam rindu kepada kekasihnya itu. Puas dicubanya untuk menghubungi Qistina, namun langsung tidak membuahkan apa-apa hasil. Rakan serumah juga menyatakan bahawasanya mereka tidak tahu menahu akan pemergian Qistina selama ini. Dan pada masa yang sama, sudah genap seminggu sejak pertemuan ‘temuduga’ Qistina bersama-sama isterinya Aliyah berlalu. Dirinya pula diminta oleh isterinya untuk bermunajat di Masjid Putra. Selama dia berada di dalam masjid itu, nuraninya benar-benar telah terusik. Dia mula menginsafi perihal dirinya yang sudah lama tidak mengimarahkan rumah Allah tersebut seperti mana yang sering dilakukannya sebelum ini.

Dulu, sebelum dia mengenali Qistina saban malam dia akan bersama-sama Aliyah dan anak-anaknya berjemaah dengan kariah masjid. Kemudian mereka menghadiri kuliah agama. Membaca Al-Quran dengan bertarannum adalah satu kesukaan buat dirinya. Namun, kini semuanya telah terabai sejak lenggok menggoda Qistina mendampingi dan melalaikannya. Haruman Qistina telah memudarkan bacaan tarannumnya. Hatinya kini benar-benar telah insaf. Atmanya kosong, sepi dan sunyi daripada alunan tasbih, tahmid yang sering dilagukannya dulu demi sebuah ketenangan yang hakiki. Sepanjang seharian dia berada di masjid, dengan gigih dia mencari kembali dirinya yang dulu. Asraf Mukmin yang dulunya seorang yang fokusnya pada agama dan keluarga. Asraf Mukmin anak Imam Kampung Seputih. Asraf Mukmin yang selalu berzanji. Dan akhirnya, gugurlah mutiara-mutiara keinsafan dari kelopak matanya membasahi pipi.

Hatinya masih tertanya-tanya, apakah yang telah terjadi pada hari itu. Aliyah menunaikan tanggungjawabnya seperti biasa. Tiada sebarang layanan yang pelik daripadanya. Dan mulutnya seakan-akan telah terkunci untuk bertanyakan perihal calon madu isterinya itu.

Tut tut tut… sebuah sms menjengah masuk ke dalam inbox telefon bimbit Asraf.

“Abang, Qis nak minta maaf banyak-banyak daripada abang. Qis rasa Qis bukanlah yang terbaik untuk diri abang. Qis tak sehebat kak Aliyah, langsung tak sama. Qis… Qis perlu jadikan diri Qis sehebat kak Aliyah sekiranya Qis ingin bersama dengan abang. Maafkan Qis abang…” Asraf terkedu membaca kiriman sms tersebut.


“Eh, surat apa pulak ni?”, gumam Asraf di dalam hati. Kelihatan sepucuk sampul surat terletak di bawah telefon bimbitnya sejak tadi. Dengan penuh kehairanan, perlahan-lahan dia membuka surat tersebut lalu membacanya.

__________________________________________________________________

Kepada :

Asraf Mukmin,

Suamiku yang tersayang…

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang,

Salam sejahtera buat suamiku yang tercinta. Aliyah doakan semoga redha-Nya senantiasa mengiringi tiap langkahmu di atas muka bumi ini. Insya Allah. Amin.

Abang yang kukasihi,

Sudah genap seminggu berlalu sejak sesi temuduga yang Aliyah jalankan buat Qistina. Pertama-tamanya Aliyah ucapkan terima kasih kepada abang kerana telah membawakan kepada Aliyah seorang calon madu yang sangat cantik. Dan di dalam warkah ini Aliyah sertakan bersama penilaian Aliyah terhadap Qistina.


1. Dengan ukuran bentuk tubuhnya yang persis seorang model, ternyata dia berjaya mengalahkan Aliyah yang kini semakin dimamah usia. Dia sememangnya pandai berfesyen, mengikut peredaran zaman moden. Tapi bang, Aliyah sangat-sangat sayangkan abang. Aliyah tak sanggup melihat abang diheret ke dalam neraka disebabkan menanggung dosa. Sedangkan dosa abang sendiri pun, masih belum mampu terjawab di akhirat sana apatah lagi abang nak menggalas dosa orang lain. Aliyah sayangkan abang…


2. Aliyah ada mengajak dia memasak. Tenyata dia memang pandai memasak, apatah lagi western food. Tapi, aliyah sayang abang sangat-sangat. Aliyah tau selera abang hanya pada lauk pauk kampung. Tapi tak tahula pula kalau-kalau selera abang sudah berubah. Tapi Aliyah masih ingat lagi, ketika kita sekeluarga singgah di sebuah restoran makanan western, abang muntahkan semua makanan-makanan tu. Lagi satu, anak-anak kita semuanya ikut selera ayah mereka. Kasihan nanti, tak makan pula anak-anak kita nanti bang. Aliyah sayangkan abang…


3. Aliyah ada juga mengajak dia solat berjemaah. Kelam kabut dibuatnya. Aliyah minta dia jadi imam. Yalah, nanti dia akan menjadi ibu kepada zuriat abang yang lahir, jadi Aliyah harap dia mampu untuk mengajarkan anak-anak abang nanti untuk menjadi imam dan imamah yang beriman. Tapi kalau dia sendiri pun masih kelam kabut memakai telekung… Aliyah sayangkan abang…

Abang yang disayangi,

Cukuplah rasanya penilaian Aliyah. Kalau diungkapkan satu persatu, Aliyah tidak terdaya. Siapalah Aliyah untuk menilai orang lain dengan hanya melihat kelemahannya sahaja sedangkan diri Aliyah sendiri masih punya kelemahan. Lagipun, abang lebih memahami tentang dirinya, kan? Abang sudah mengenalinya lebih lama daripada Aliyah, hanya satu hari.

Abang yang dicintai,

Di dalam sampul ini ada borang keizinan berpoligami. Telah siap Aliyah tandatangan. Juga sekeping tiket penerbangan MAS ke Australia. Jika munajat abang di Masjid Putra mengiyakan tindakan abang ini, ambillah borang ini, isikan dan pergilah kepada Qistina. Oh ya, lupa Aliyah nak beritahu, sebenarnya Qistina telah berada di Melbourne. Menunggu kehadiran abang… Aliyah sayangkan abang… tetapi jika abang merasakan Qistina masih belum cukup hebat untuk dijadikan isteri abang, pergilah cari wanita yang setanding dengan Aliyah… Aliyah sayangkan abang… tetapi, jika abang merasakan Aliyah adalah seorang isteri yang hebat untuk abang… tolonglah bukakan pintu bilik ini. Aliyah bawakan sarapan kegemaran abang, roti canai… air tangan Aliyah.

Salam sayang,

Aliyah Najihah Binti Mohd Hazery

____________________________________________________________________

Tangannya pantas membuka pintu biliknya. Di situ berdirinya Aliyah Najihah bersama-sama dengan hidangan sarapan pagi kegemarannya. Dia tersenyum!!


Benar, tiada isteri sehebat isterinya, Aliyah!!!

-TAMAT-

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails