Monday, November 29, 2010

Kuliah Cinta - Ada Apa Dengan Cinta? (Siri 1)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam cinta saya hulurkan buat kalian para pembaca Luahan Rasa. Musafir Alam ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan amat berbesar hati untuk mengalungkan kalungan apresiasi yang tak terhingga kepada kalian atas kesetiaan menanti dan meneliti tiap entry yang sedia ada dan yang akan datang. Moga-moga setiap yang telah Musafir Alam nyatakan dalam Luahan Rasa akan menjadi iktibar untuk kalian semua. Insya Allah.

Jadi, dalam edisi kali ini selain daripada entry-entry yang sedia ada berkenaan cinta, Musafir Alam merasakan terpanggil untuk memberikan sedikit perkongsian berkenaan tema utama blog ini iaitu cinta. Dan terus terang saya katakan, ruangan kali ini bukanlah semata-mata memberi kuliah, tetapi lebih kepada diskusi bersama-sama kalian. Mudah-mudahan akan ada manfaatnya.
Jadi, tanpa membuang masa lagi marilah kita mulakan.

Bila bicara tentang cinta, pasti akan ada pelbagai tafsiran yang berkaitan dengannya. Ada yang melihat cinta itu sekadar pada maksud literal sahaja dan ada juga yang berjaya menyelami dan mentafsirnya dengan amat baik. Tidak ketinggalan juga ada yang memahaminya pada skop yang tidak sepatutnya. Persoalannya kini, apa itu cinta?

Cinta adalah fitrah yang istimewa dicipta Tuhan untuk manusia. Cinta hadir dalam hati manusia kerana kita semua telah dianugerahkan naluri yang amat sensitif untuk menyayangi dan disayangi (Dato' Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah & Syaidatun Nazirah Abu Zahrin, 2004: Psikologi Cinta).
Untuk itu, terdapat satu pujangga yang berbunyi:

"Cinta itu kuasa yang luar biasa kerana mampu membuat seseorang itu melakukan sesuatu yang tidak masuk akal. Qaisy mati mendakap nisan Laila; Sappo dalam dongengan Yunani sanggup terjun dari puncak karang yang tinggi kerana terlalu merindukan buah hatinya; Rama rela berkorban apa-apa sahaja demi Sita; Shah Jehan mengabadikan Taj Mahal istimewa buat isterinya yang tercinta, Mumtaz; seterusnya kisah kasih agung Laila - Majnun dan Romeo - Juliet yang amat menyentuh perasaan". - Anonymous -

Sememangnya kini cinta itu amat penting dalam hidup setiap insan di dunia ini yang mempunyai kasih dan sayang dalam hatinya. Kesemua keperluan manusia di dunia ini takkan sempurna tanpa adanya cinta. Dan cinta juga wujud dalam kalangan makhluk-makhluk lain di dunia. Alangkah agungnya kuasa Tuhan yang menciptakan cinta! Subhanallah (Maha Suci Allah).

Sekiranya kita melihat pada pandangan beberapa pakar-pakar psikologi Barat berkenaan dengan cinta, kita akan mendapati terdapatnya perbezaan yang ketara dengan takrifan yang diberikan dalam Islam. Berikut merupakan sebahagian daripada pandangan mereka:

1.Robert J. Sternberg: Cinta itu berpaksikan pada 3 unsur (keintiman, nafsu, komitmen).
2.Sigmund Freud: Rangkaian kehendak seksual yang tidak dipenuhi sepenuhnya (sublimated sexuality).
3.Erich Fromm: Unsur yang terbit daripada perasaan mengambil berat, bertanggungjawab, hormat dan mengambil tahu perihal orang lain.

Berdasarkan pendapat-pendapat di atas, kita dapat simpulkan bahawa cinta pada pandangan Barat lebih kepada pemenuhan kehendak nafsu dan lebih kepada unsur seksual semata-mata. Tiada langsung kaitan dengan ketuhanan yang seharusnya diberikan perhatian yang sewajarnya. Ini adalah kerana Tuhan merupakan pencipta cinta. Bagaimana mungkin kita melupakan Tuhan ketika bercinta?

Oleh yang demikian, marilah bersama-sama kita renungkan dan selamat beramal. Sekian sahaja untuk post kali ini. Semoga kita akan bersama-sama dalam menelusuri cinta yang terbaik dan mengecapi kejayaan dalam kebahagiaan. Insya Allah. Semoga kita berjumpa lagi dalam edisi Kuliah Cinta yang akan datang. Sekian, wassalamualaikum wbt dan salam 1 Malaysia!

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails