Sunday, July 5, 2009

Andai Cinta Hendak Diberi


Assalamualaikum, salam cinta saya hulurkan buat anda semua para pembaca yang diredhai Allah S.W.T sekalian. Saya doakan agar kalian senantiasa berada di dalam keadaan kesihatan yang paling baik sekali. Insya Allah. Amin.

"Kasih manusia sering bermusim, sayang manusia tiada abadi. Kasih Tuhan tiada bertepi, sayang Tuhan janjiNya pasti".

Itulah sedikit dari bait-bait lagu daripada kumpulan nasyid Raihan. Lantaran kasih dan sayang manusia yang sering bermusim dan sayangnya yang tidak kekal lama, kita perlu sentiasa berwaspada terutamanya dalam memilih pasangan.

Andainya secebis daripada cinta itu hendak diberi kepada seseorang yang layak digelar suami, pilihlah seorang lelaki yang mempunyai 10 ciri seperti di bawah:

1-
Kuat pegangan agamanya. Biarpun hidup seseorang lelaki itu dipenuhi dengan kesibukan, solat fardu lima waktu masih dipeliharanya dengan sangat baik. Utamakanlah pemuda yang senantiasa meletakkan agamanya sebagai perkara utama dalam hidupnya. Sebagai contoh: Rasulullah S.A.W telah menerima pinangan Saidina Ali buat puterinya Fatimah Az-Zahra'. Walaupun beliau merupakan seorang pemuda yang miskin harta, namun di dalam lubuk nubarinya kaya dengan iman yang amat teguh terhadap Allah S.W.T.


2-
Baik akhlaknya. Ketegasannya terserlah namun dia seorang yang berhati lembut dan mudah bertolak-ansur. Lukisan luhur pekertinya terletak pada kesopanan tiap tutur kata yang dilafazkan dan ketenangan sikapnya tika bermadah bicara. Di dalam dirinya tersemat rasa sayang dan hormat yang sangat tinggi terhadap mereka yang lebih berusia daripada dirinya.


3-Tegas mempertahankan maruah. Lelaki itu tidak pernah sesekali terlintas di benaknya hendak melakukan apa-apa yang boleh menjatuhkan maruah dirinya, agamanya, keluarganya, bangsanya dan negaranya sendiri. Islam menjadi pegangan utama dalam setiap tindak-tanduknya terhadap sesuatu keadaan.

4-
Amanah Insan ini menjalankan tanggungjawabnya terhdapa amanah yang telah dipertanggungjawabkan terhadapnya dengan sangat baik, adil dan saksama. Tidak pernah terdetik di dalam hatinya untuk melakukan sebarang bentuk pengkhianatan terhadap amanah yang telah diberikan kepadanya.

5-
Tidak boros. Dia seorang yang mengetahui dan memahami tiap perkara yang harus didahulukan urusannya terutamanya dalam urusan menguruskan hartanya (dalam konteks ini, ia merujuk kepada pengurusan kewangan). Dia menyedari bahawa semua rezeki kurniaan Allah S.W.T kepadanya bukanlah menjadi hak miliknya secara mutlak. Ia mesti dinikmati bersama-sama mereka yang lebih memerlukan seperti mereka yang kurang bernasib baik. Maka harta itu akan suci. Dia bersyukur dengan nikmat kurniaan Tuhan.

6-
Tidak meliar matanya. Lelaki ini seorang yang menjaga pandangannya. Sesuai dengan firman Allah di dalam Al-Quran yang menyuruh lelaki untuk menundukkan pandangan mereka. Matanya sentiasa dipelihara dengan baik daripada melakukan zina mata.

7-
Terbatas pergaulan. Insan ini menjaga dengan baik pergaulannya dengan semua orang. Fitnah dengan sebaiknya dihindarkan olehnya kerana dia seorang lelaki yang baik dan dia juga mengelakkan gaya hidup yang terlalu bebas.

8-
Rakan pergaulannya. Rakan-rakan kepada lelaki ini mempunyai akhlak dan peribadi yang hasan (baik) sepertinya. Dia hidup dengan dikelilingi oleh manusia dan persekitaran biah solehah (suasana yang penuh dengan kedamaian, ketenangan dan kebaikan).

9-
Bertanggungjawab. Rasa tanggungjawabnya dapat diukur melalui sejauh mana dia memperuntukkan dirinya untuk kedua ibu bapanya dan anggota keluarganya yang lain. Dia tidak pernah sesekali tergamak membiarkan kehidupan mereka terabai. Kasih sayang di antara mereka amatlah subur.

10-
Tenang wajah. Pandangannya redup dan lembut sekali. Apa-apa yang tersimpan di dalam hatinya kadang-kadang dapat kita lihat melalui riak mukanya. Sentiasa senyum kepada semua orang dan di dalam apa-apa jua keadaan biarpun ketika dia di dalam kesusahan.

Nukilan ini merupakan nasihat daripada saudara Putra Uthmaniah, iluvislam.com. Diharapkan agar para pembaca mendapat sedikit banyak ilmu yang bermanfaat daripada entry saya kali ini. Biar apapun yang berlaku, bercintalah dengan cara yang paling maaruf (baik). Mudah-mudahan kalian dapat merasai GETARAN CINTA yang diredhai Allah, bukannya sebaliknya. Hingga kita bertemu lagi di lain waktu. Wassalam.

renung-renungkan... dan selamat beramal!!

2 comments:

  1. salam
    wah qamar
    ade blog x bgtaw pon
    ltkla ak kt blog list ko
    ak ltk ko tw.

    ReplyDelete
  2. Oh erk..pengisian yg mmbantu..trimas.

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails