Thursday, July 9, 2009

Dia Tersenyum!! (Bahagian 1)


Aliyah yang sedang melipat kain terdiam sebentar. Terkedu mungkin. Adakah pendengarannya kian kabur lantaran usianya yang kian beranjak. Adakah dialog tadi hanya dilafazkan di dalam TV, sementelahan TV juga dipasang ketika itu. Tapi.. ah, bukanlah. TV sedang menayangkan iklan Sunsilk, mustahil sudah ada siri baru iklan Sunsilk? Dia menghela nafas panjang. Dia memandang sekali imbas wajah Asraf Mukmin, kemudian tersenyum. Meletakkan kain yang siap dilipat ke tepi, dia bangun lantas menuju ke dapur. Langkahnya diatur tenang. Segelas air sejuk diteguk perlahan. Kemudian, dia ke bilik Balqis, Sumayyah dan Fatimah.

Rutin hariannya, mencium puteri-puterinya sebelum dia masuk tidur. Dahulu, semasa puterinya kecil lagi, rutin itu dilakukan suaminya. Kini, anak-anak kian beranjak remaja. Kemudian dia menjenguk bilik putera bujangnya yang berdua, si kembar, Solehin dan Farihin.

Penghabisannya dia kembali kepada suaminya. Asraf Mukmin hanya membisu, membatu diri. Dia amat mengenali isterinya. Jodoh yang diatur keluarga hampir 16 tahun yang lalu telah menghadiahkannya sebuah keluarga yang sangat bahagia. Aliyah ialah ikon isteri yang solehah. Namun, sejak kehadiran Qistina, seorang gadis genit yang menjawat jawatan pembantu tadbir kesetiausahaan di jabatannya benar-benar telah mengusik hati prianya.

“Kau mampu Asraf. Dengan gaji kau tu, aku rasa kau mampu untuk memberi nafkah kepada 2 orang keluarga”, ujar Hanif, teman sepejabatnya yang membantunya menyediakan hujah untuk isterinya Aliyah.


“Abang, Qis tak kisah bang. Qis sanggup bermadu jika itu yang telah ditakdirkan Tuhan. Bimbinglah Qis bang. Qis… Qis amat memerlukan seseorang seperti abang untuk membimbing hidup Qis”. Masih tengiang-ngiang kelunakan suara Qistina bermadah bicara.

Sejak akhir-akhir ini, sekiranya Asraf Mukmin berada di rumah, hatinya berasa tidak menentu. Resah dan gelisah; terasa panas punggungnya. Setelah selesai menunaikan solat Subuh, awal-awal pagi lagi dia telah bersiap untuk ke pejabat. Tidak seperti kelaziman yang mana dia akan bersarapan berjemaah bersama-sama dengan isteri dan anak-anaknya. Aduhai, ternyata penangan Qis, gadis kelahiran Australia benar-benar menjerat hatinya.

“Abang, Aliyah setuju dengan permintaan abang tu. Tapi, Aliyah nak berjumpa dengan wanita tu dulu,” lembut tutur kata, tenang lagi bercahaya wajahnya ketika dia mengungkapkannya.

Jauh di sudut hati Asraf Mukmin, dia tahu Aliyah bukannya seorang yang panas baran. Aliyah merupakan seorang wanita yang boleh kita katakan sebagai sempurna. Namun… ahh!! Hatinya kini sedang menggilai seorang wanita yang jauh lebih muda daripada isterinya.

“Nanti abang tolong bawa dia ke sini ya? Tinggalkan dia bersama Aliyah hanya untuk 1 hari sahaja, boleh tak bang?” Pelik benar permintaan isterinya itu.

Apakah Aliyah hendak berbuat sesuatu kepada buah hatinya itu? Hatinya dirundung kegusaran memikirkan tentang hal itu. Namun, tanpa sedari dia telah mengangguk tanda setuju dengan permintaan isterinya tadi. Dia yakin bahawa isterinya tidak akan melakukan apa-apa perbuatan yang tidak waras.


Dan sepatutnya dia bersyukur kepada Tuhan Yang Maha Esa. Kalaulah isterinya itu wanita lain, belum tentu hasrat hatinya itu akan mudah dibawa runding. Silap-silap hari bulan, perang dunia pasti meletus. Habislah semua barang-barang di dalam rumah itu akan rosak dek dibaling akibat pergaduhan laki bini. Namun, itu semua hanya sering berlaku pada suatu ketika dahulu. Dalam era moden ini, para isteri adalah jauh lebih bijak. Tiba-tiba ingatannya mengimbau kisah seorang anggota tentera yang telah disimbah dengan asid gara-gara menyuarakan keinginan untuk menambah satu lagi ‘cawangan’. Kecacatan seumur hidup diterima sebagai hadiah sebuah perkahwinan yang tidak sempat dilangsungkan. Tetapi dirinya? Hanya senyuman yang diberikan Aliyah.


“Apa? Abang nak Qis berjumpa dengan isteri abang?” terjegil bulat matanya yang berwarna hijau.

“Kak Aliyah yang minta, sayang. Dia teringin sangat nak berkenalan dengan cayang tau”, lembut dan manja Asraf memujuk Qistina.

“Eh biar betul bang. Dia nak apa sebenarnya daripada Qis? Ish, takutlah Qis bang. Manalah tau, silap haribulan dia bunuh Qis!!” Terkejut Asraf mendengar kenyataan Qistina.


“Err… percayalah Qis, Aliyah tu bukan orang yang macam tu. Lagipun, kana bang dah lama bersama dengannya. Abang faham sangat isteri abang tu. Sayang jangan risau ya”.

Qistina mengalihkan pandangannya. Apa sebenarnya yang dia mahukan daripada aku agaknya? Fikirannya dengan tidak semena-mena teringat akan kisah-kisah dan kes-kes rumahtangga khususnya yang berkait rapat dengan poligami. Keadaan di mana isteri pertama seringkali membuli isteri yang kedua. Namun, dengan segera Qistina menepis sangkaan buruk tersebut daripada terus menguasai dirinya. Heh, ini Qistinalah. Jangan kau mimpi nak membuli orang macam aku, desis hati kecilnya.

bersambung....

1 comment:

  1. jika seorang suami n ayah hendak menbuka'cawangan' baru,biarlah dengan kerelaan semua pihak,...
    jangan samapi melukakan hati insan yang selama ini bersamanya di siang n malam hari..di bawah satu bumbung..sengsara jiwa n emosi tidak dapat ditahan...jangan sampai mencambah benih dendam dalam diri anak-anak...
    ingatlah kaum Adam sekalian...
    n buat kaun Hawa yang sedang berada dalam situasi ini yajni yang sedang hangat bersama 'imam masjid' orang lain..
    fikirlah....
    jangan diroboh masjid bahgia insan lain...

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails